Saban kita lupa…
Saban kita lupa…
Ibadah qurban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam dan telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Dalil pensyariatannya sabit dengan ayat al-Quran dalam surah al-Kauthar ayat 2 dan surah al-Hajj ayat 36.
Hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkadah).
Ibadah ini dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia setiap tahun apabila tiba Aidiladha atau Hari Raya Qurban pada 10 Zulhijjah dan Hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah).
Pelaksanaan ibadah qurban ini boleh diuruskan secara individu dengan membuat pendaftaran secara terus kepada institusi berdekatan seperti Masjid-masjid atau Surau-surau, dan boleh juga didaftarkan kepada syarikat atau agensi pengurusan qurban yang menawarkan perkhidmatan mengurus qurban kepada mereka yang memerlukan.
Cara ini termasuk urusan atas talian yang dianggap lebih cepat dan mudah untuk melaksanakan ibadah qurban kerana kekangan masa atau kesibukan seharian.
Hikmah Ibadah Qurban:
Ibadah qurban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan, ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan, di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.
(Sumber: Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bil. 2 Tahun 2013)
