Amanah

Amanah…

Kepayahan mengandung, melahirkan dan membesarkan seorang anak tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Lebih-lebih lagi dengan kesukaran menanti kehadirannya. Kita sebolehnya ingin mewujudkan sistem kekeluargaan yang terbaik buat dirinya bersama kita. Ia perjalanan usaha yang panjang dan berterusan dan menuntut komitmen yang terlalu besar baik daripada seorang ibu dan ayah. Ramai yang kecundang. Namun sebahagian bangkit berkali-kali. Ada yang kecundang dan masih merangkak mencari sinar di hujung lorong kegelapan yang entah bila akan kelihatan. Dalam proses tersebut, ada anak-anak menjadi mangsa sistem rumahtangga yang runtuh dan meneruskan contoh yang sama untuk generasi seterusnya.

Sampai bila?

Dalam perjalanan atau pergerakan sebuah institusi atau syarikat, biarlah di dalamnya ada nilai tambah kepada pertumbuhan generasi yang lebih baik. Dalam era mencabar ini, di antara yang kita cuba tapis adalah hebatnya sisi kontra teknologi. Anak-anak yang terdedah secara langsung belajar melaluinya. Anak-anak yang kurang dan mungkin tidak terdedah, terpengaruh dengan “trend” yang dibawa oleh mereka yang terdedah. Ibu bapa yang bekerja sudahlah letih mencari nafkah, terpaksa pula bekerja keras menghalakan anak-anak dengan menapis infiniti kecenderungan yang tiada noktah.

Tiada jalan terbaik melainkan kita ajarkan anak-anak untuk menapis sendiri sisi kontra yang infiniti tersebut. Berikan ilmu. Tidak lain tidak bukan telah Allah gariskan dalam pedoman sejati iaitu Al-Quran dan Sunnah. Antara isinya, Allah mengajak kita untuk merenungkan hakikat kejadian alam dan berfikir.

Justeru, di antara proses pendidikan terbaik buat anak-anak adalah melalui pengalaman. Bawalah mereka melewati setiap denai jalan walau hanya melalui butiran-butiran cerita atau sunguh-sungguh menelusuri setiap denai, menghayati sendiri pengalaman. Kerana mereka akan belajar melalui penceritaan media yang dahsyat atau pengaruh rakan-rakan yang hebat di mata mereka, jika peluang dan kesempatan itu kita lepaskan sebagai ibu bapa. Letih di awalnya, ya. Namun semailah manfaat di penghujungnya.

Lazimkan mereka dengan syiar-syiar agama termasuk ibadah Qurban dan dekatkan mereka dengan pengertian sebenar menjadi hambaNya. Di sebalik doa yang kita panjatkan sepanjang ibadah yang dilaksanakan baik untuk diri sendiri mahupun anak-anak dan ahli keluarga lain, ia adalah jalan taqwa dan senjata yang ampuh untuk kesejahteraan anak-anak di dunia dan akhirat.

Sama-sama kita lahirkan generasi yang lebih baik. In shaa Allah

Similar Posts

Leave a Reply